SETIAP kali ke pasar, perkara utama yang selalu kita fikirkan ialah mahu membeli barangan yang baik sebagai santapan keluarga. Dan sebagai orang Islam, makanan itu seharusnyalah halal.
Namun dalam keadaan di sebuah negara yang lebih 70 peratus produk makanan dikeluarkan oleh pengusaha bukan Islam, tidak dapat tidak, pasti timbul keraguan dari segi status halalnya. Akan tetapi, kita memang tidak ada pilihan. Biarpun sangsi, perut perlu juga diisi.
Dalam keadaan ini, apa yang paling kita boleh harapkan ialah adanya logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Namun timbul pula isu-isu berkaitan logo halal Jakim.
Sudahlah jenuh dengan cerita logo halal palsu, kontroversi demi kontroversi turut mencarikkan keyakinan. Lalu ke mana lagi mahu disandarkan pergantungan?
Langkah Universiti Selangor (Unisel) membangunkan produk kit halal yang berfungsi untuk mengenal pasti bahan tidak halal dan berupaya memberikan keputusan dalam tempoh sesingkat seminit diharap akan membawa kelegaan dan menyelesaikan masalah umat Islam di negara ini, dan mungkin juga di seluruh dunia suatu hari nanti.
Ikuti kupasan lanjut berkaitan alat canggih ini daripada Naib Canselor Unisel, PROF DR ANUAR AHMAD yang disediakan wartawan Sinar Harian, Robiatuladawiyah Abd Rashad, Noor Ainulyakin Mohamad Ishak & Siti Nursyahidah Abu Bakar.
Anda sedang membeli-belah di pasar raya dan terpandang satu produk makanan yang begitu anda inginkan. Namun, mungkin akibat terpengaruh dengan penyebaran maklumat dalam media sosial kononnya produk berkenaan mengandungi unsur haram, anda dibelenggu rasa was-was.
Mengikut nasihat agamawan, apabila timbul rasa was-was, anda perlu jauhi makanan itu.
Akan tetapi dengan adanya teknologi halal kit, situasi anda tidak perlu sampai ke tahap itu.
Ini kerana teknologi yang sedang dibangunkan Universiti Selangor (Unisel) mampu memberikan anda jawapan halal atau tidak sesuatu makanan hanya dalam tempoh seminit.
Sangat cepat dan sangat mudah, bukan?
Dengan adanya teknologi ini, anda juga tidak perlu membawa senarai panjang logo halal yang diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk disemak setiap kali mahu membeli sesuatu produk yang mungkin logo-logo itu juga belum sahih keasliannya disebabkan peniruan pada zaman serba canggih ini sangat licik.
Sama ada terdapat logo halal Jakim ataupun tidak, anda boleh periksa sendiri untuk memastikan sesuatu produk itu mengandungi unsur babi ataupun tidak. Malah produk yang tidak ada logo halal sekalipun anda boleh kunyah dan telan tanpa was-was jika mendapati ia bebas daripada unsur haiwan itu.
"Inilah gunanya kit halal yang sedang kita usahakan," kata Naib Canselor Unisel, Prof Dr Anuar Ahmad ketika ditemui di kampus universiti itu di Shah Alam.
Mengenai projek kit halal itu, Anuar menjelaskan bahawa Unisel diberi peruntukan RM1.3 juta untuk membangunkan alat itu dalam tempoh 18 bulan dan dijangka siap pada Disember 2015.
"Alat ini bukan untuk makanan saja tetapi juga kosmetik dan ubat-ubatan," katanya.
Kesan zat babi serendah 0.001 peratus
Kit halal bukan perkara baharu. Sebelum ini, di negara kita sahaja sudah ada beberapa pihak terutama universiti yang cuba memajukan kit halal.
Namun setakat ini, teknologi yang akan dibangunkan Unisel dikenal pasti sebagai yang termaju.
"Kit halal yang ada sebelum ini berfungsi untuk mengesan kandungan DNA babi saja. Ini berbeza dengan apa yang kita akan keluarkan yang mana kit halal Unisel menggunakan teknologi pengesan nano bagi mengetahui kandungan zat babi sekecil 0.001 peratus," kata Anuar.
Sebagai contoh, kandungan perisa dalam makanan atau gelatin yang digunakan pada kapsul, zatnya memang terlalu rendah. Apabila alat pengesan konvensional yang kemampuannya untuk mengesan hanya sekadar lingkungan 20 peratus, ia tidakakan dapat memberi bacaan tepat mengenai kandungan sebenar bahan terlarang dalam produk itu.
Itulah kelebihan kit halal Unisel yang mampu mengesan zat serendah 0.001 peratus iaitu zat paling rendah yang kebiasaannya terkandung dalam makanan, kosmetik atau ubatan dalam pasaran
.
Bagaimana menggunakannya?
Mudah, sangat mudah! Hanya masukkan sampel ke dalam pengesan, kemudian goncang hingga larut dalam masa 10 saat. Seterusnya uji bahan yang sudah larut itu dengan alat pengesan elektronik pada kit.
Secara automatik, kit akan mengeluarkan cahaya floresen yang akan menentukan kandungan zat babi dalam tempoh seminit!
Siapa yang akan gunakan kit itu?
Kumpulan utama sasaran menggunakan kit halal Unisel ialah penguat kuasa. Selepas itu, baharulah ia diperluaskan kepada orang ramai. Namun alat berkenaan mungkin dikeluarkan dalam versi berbeza antara penguat kuasa dan pengguna.
Berkesankah?
Walaupun kecil bentuknya, kata Anuar, kit halal itu tidak perlu diragui kerana pihaknya melaksanakan mandat Kerajaan Selangor untuk membangunkan teknologi itu dengan penuh amanah dan tanggung jawab.
"Walaupun kecil ia dapat menjimatkan kos berbanding ujian makmal. Oleh itu, jangan ragu-ragu menggunakan alat ini, kerana hasil ujiannya diyakini tepat, setanding dengan hasil ujian makmal yang menelan belanja ribuan ringgit,” katanya penuh yakin.
Cabaran mendapatkan komponen
Namun dalam setiap penciptaan, pasti halangan dan cabaran tidak dapat dielakkan. Ia diakui sendiri oleh Anuar yang mana katanya, proses mendapatkan komponen elektronik kit mungkin agak sukar kerana kini ia lebih kecil dan teknologinya berbeza.
"Teori tentang kit ini, memang tidak ada masalah kerana telah selesai, hanya menunggu bajet diumumkan kerajaan negeri untuk membeli komponen elektronik dan pengesan yang dijangka diperoleh Julai ini.
“Saya pernah menghasilkan alat yang hampir serupa sebelum ini. Namun, kebanyakan komponen digunakan ketika itu sudah tidak ada dalam pasaran. Jadi, kita perlu mendapatkan komponen baru yang lebih canggih. Kita juga akan menggunakan teknologi dan kepakaran dari Amerika Syarikat bagi memastikan alat ini mengikut piawaian sebelum dipasarkan,” katanya.
Hilangkan rasa was-was
Sebagai pengguna apabila ada alat yang boleh mengesan status halal dengan kadar segera, pastinya sesiapa juga mahu memilikinya bagi mengelak perasaan was-was yang membelenggu diri sebelum ini.
“Walaupun ada logo halal Jakim, ia masih dilihat kurang memberi keyakinan kepada pengguna berikutan banyaknya lambakan logo halal palsu di pasaran. Jadi, jika tidak mahu timbul rasa ragu-ragu, penggunaan kit halal seperti yang dinyatakan sedikit sebanyak dapat mengatasi masalah itu,” katanya.
Oleh itu, harapannya, sekiranya kit ini siap kelak, ia bukan saja akan dipasarkan di Selangor dan negeri lain, malah di seluruh dunia agar kelebihannya dapat digunakan sebaiknya oleh umat Islam di mana-mana sahaja.
Bagi Unisel, penghasilan kit itu lebih kepada niat fardu kifayah kepada pengguna Muslim, bukan untuk mengaut keuntungan dan secara tidak langsung, ia juga boleh menjadi nilai tambah kepada kredibiliti Unisel.
No comments:
Post a Comment