Dua penduduk Kampung Jedok, dekat sini, kerugian ribuan
ringgit apabila puluhan ayam ternakan mereka mati dipercayai akibat jangkitan
penyakit selesema burung (H5N1).
Lebih membimbangkan, dua ahli keluarga kepada penternak ayam
terbabit mengalami simptom penyakit yang berpunca daripada virus avian
influenza itu seperti demam selesema, sesak nafas dan batuk.
Seorang penduduk, Wahab Yusof, 55, berkata, kira-kira 30
ayam termasuk ayam laga, ayam serama, ayam kampung dan ayam daging miliknya
mati sejak tiga hari lalu.
“Saya ingatkan ayam mati sebab termakan racun kerana beberapa
hari sebelum itu, saya guna racun serangga untuk meracun kebun sayur di
belakang rumah.
“Saya terkejut bila Jabatan Perkhidmatan Veterinar datang ke
rumah hari ini untuk uji kaji ayam yang mati kerana disyaki akibat jangkitan
virus selesema burung,” katanya, semalam.
Menurut Wahab, jika benar kematian ayam ternakannya itu
disebabkan selesema burung, dia tidak menolak kemungkinan penyakit itu
berjangkit daripada ayam laga dari negara jiran.
“Sehari sebelum ayam saya mula mati, saya pergi ke Kampung Nuruk
di seberang (Thailand) untuk uji ayam laga tetapi tak dapat sebab kebanyakan
ayam di sana ‘sakit’.
“Saya bimbang ayam saya mungkin dapat jangkitan penyakit itu
di seberang kerana sehari selepas balik, ayam ternakan saya mulai mati seekor
demi seekor,” katanya.
Katanya, dia bertambah bimbang apabila seorang anak
saudaranya berusia 28 tahun yang tinggal bersama pula demam, batuk dan sesak
nafas.
“Kami ingatkan demam biasa tetapi batuknya semakin teruk.
Dia pergi ke Klinik Kesihatan Batu Gajah, pagi tadi (semalam),” katanya yang
tinggal bersama isteri, dua anak dan dua anak saudara.
Suhaimi Ismail, 44, pula berkata, sebelum ini, dia memiliki
30 ekor ayam tetapi kini hanya tinggal dua ekor selepas ternakan itu mulai mati
sejak Ahad lalu, disyaki akibat penyakit sama.
“Anak saya berusia 10 tahun sudah dua hari tidak ke sekolah
kerana demam, sakit kepala dan batuk,” katanya yang tinggal berjiran dengan
Wahab bersama isteri dan tujuh anak.
Katanya, dia ada membawa pulang ayam laganya yang mati dalam
acara laga ayam di negara jiran, Sabtu lalu, dan percaya tindakannya itu punca
kematian ayam ternakan di rumahnya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar
Kelantan, Dr Azri Adzhar berkata, kes penduduk kampung itu dijangkiti penyakit
selesema burung diterima pihaknya daripada Jabatan Kesihatan.
“Kebetulan ayam peliharaannya banyak mati, jadi kita
gerakkan pasukan penyiasat veterinar untuk menyiasat dan hasil siasatan awal,
pegawai kita mengesyaki ada kes penyakit selesema burung.
“Kita juga gerakan Pasukan Bertindak Pantas (RAT) dari
Putrajaya untuk menyiasat kes sama dan pada masa sama, membendung penyakit
daripada menular keluar dari kawasan penyakit,” katanya.
Tambahnya, pasukan forensik veterinar turut
menyiasat sama ada punca jangkitan disyaki selesema burung datang dari luar
negara ini atau berlaku kemunculan kes lama