Daripada Abu Hurairah r. a. bahawasanya Baginda Rasulullah
saw bersabda bermaksud: "Sesungguhnya Allah swt suka orang yang bersin,
dan membenci orang yang menguap. Maka apabila seseorang kamu bersin, lalu dia
mengucapkan 'Alhamdulillah', maka adalah hak atas setiap Muslim yang
mendengarnya pula mengucapkan 'Yarhamukallah!'.
Adapun menguap itu adalah daripada syaitan. Maka apabila
seseorang kamu menguap, hendaklah dia menahannya sekadar termampu. Sebab
sesungguhnya apabila seseorang kamu menguap, syaitan akan mentertawakannya.
(Hadith Riwayat Bukhari)
Daripada Abu Said Al-Khudri r. a., katanya : Telah bersabda
Rasulullah s. a. w. yang bermaksud: "Apabila seseorang kamu menguap,
hendaklah dia meletakkan tangannya pada mulutnya, kerana sesungguhnya syaitan
itu akan masuk (melalui mulut yang terbuka." Riwayat Imam Muslim.
Nabi Muhammad saw bersabda maksudnya: "Sesungguhnya
Allah suka kepada orang-orang yang bersin, dan membenci orang-orang yang
menguap. Maka apabila seseorang kamu menguap, jangan sampai berbunyi, kerana
yang demikian itu daripada syaitan yang mentertawakanmu." Hadith riwayat
Imam Muslim,
Ahmad dan At-Tirmidzi
Daripada Abdullah bin Az-Zubair r. a., katanya: Telah
bersabda Rasulullah saw yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah swt membenci
sesiapa yang mengangkat suara ketika menguap dan bersin." Hadith riwayat
Imam Muslim, Ahmad dan At-Tirmidzi
Pengajaran daripada maksud hadith, antara adap-adap menguap
dan bersin:
1. Berusaha menahan menguap sekadar termampu terutama ketika
solat.
2. Meletakkan tangan di atas mulut untuk menahan menguap
sama ada di dalam atau di luar solat.
3. Makruh mengeluarkan suara dan mengangkat bunyi ketika
menguap atau bersin.
4. Sunat ketika bersin mengucapkan "Alhamdulillah"
dan orang yang mendengarnya pula mengucapkan "Yarhamukallah".
5. Sunat mengucapkan "Astaghfirullah" selepas
menguap.